Monday, January 3, 2011

Di Manakah Sifat Kemanusiaan???



Saban hari kita sering disajikan dengan kes-kes pembuangan bayi. Kes ini bukan semakin berkurangan malah semakin bertambah selaras dengan kemajuan pembangunan negara kita. Gambar-gambar yang dipaparkan melalui televisyen atau surat khabar menambahkan rasa sedih di hati, tersentuh bila memandang bayi yang masih kemerah-merahan dan masih bertali pusat dibuang tanpa seurat benang ditubuh. Kalau kita saja seorang dewasa yang tidak tertahan dengan suhu sejuk di sesuatu tempat, inikan pula seorang bayi yang baru lahir? Di manakah sifat perikemanusiaan seorang manusia itu?

Semasa melakukan maksiat, tidak terfikir langsung akan akibat yang akan dihadapi, bila perut sudah "memboyot" segala perasaan bermain di minda. Apatah lagi bila telah melahirkan anak yang dikandung, ekoran takut dan malu bercampur baur, maka timbullah tindakan meletakkan bayi yang dilahirkan di mana-mana tempat tanpa memikirkan satu lagi dosa yang dilakukan. Yang menjadi mangsa adalah bayi. Mereka "terjadi" akibat perbuatan sendiri, tanpa dikasihani, mereka dibuang dan dibiarkan begitu sahaja. Apakah dosa bayi tersebut? Lantaran takut dan malu, dosa diketepikan. Kenapa tidak memikirkan perasaan takut dan malu itu semasa melakukan maksiat? Segala pujuk rayu dari kaum lelaki kenapa tidak ditolak? Kononnya sebagai tanda kasih, sayang, cinta...Tetapi kenapa perasaan tersebut tidak wujud terhadap bayi yang dilahirkan?

Andainya bayi yang baru dilahirkan pandai berkata-kata, sudah pasti mereka akan meraung, merintih dan menjerit "Ibu...jangan tinggalkan aku di sini, aku adalah hasil dari perhubungan haram antara ibu dan lelaki itu, kenapa aku dibuang dan dibiarkan setelah aku terhasil dari sumpah tanda kasih dan sayang kalian?"

Fikirkanlah wahai muda-mudi, jangan terpesona dengan segala janji dan pujuk rayu daripada seseorang yang bergelar "kekasih", tegaskanlah diri kita dengan berkata "TIDAK" dan dekatkanlah diri kita lebih kepadaNYA agar kita tidak mudah terjerumus dengan segala maksiat atau perkara yang salah di sisi agama.

Share: