Thursday, June 23, 2011

Teman sejati...


Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah, akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah semata?

Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan Allah. Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah, atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah. Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.
Persahabatan kerana Allah, memberi tanpa minta diganti.

Menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah dan Rasul-Nya. Alangkah indahnya suasana ini.

Dan carilah iman dan persahabatan atas dasar iman............

Carilah prinsip perjuangan yang Allah reda, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah. Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit.

Lebih mendukacitakan Allah berfirman: (maksudnya) Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa (surah al-Zukhruf: 67). Ya, seperti di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredai Allah, di dataran itulah kalian akan temui teman sejati.
Share:

0 comments: