Wednesday, February 25, 2015

Kuala Lumpur 20 Pelacur Warga Asing Ditangkap

Serbu ‘dinding ajaib’


Kuala Lumpur: Sekumpulan 20 pelacur warga asing berasak-asak cuba melarikan diri melalui ‘dinding ajaib’ sejurus menyedari pusat karaoke di Jalan Metro Pudu 2 di sini, diserbu polis.

Dalam operasi jam 1 pagi semalam, semua wanita Vietnam dan China itu berusaha menyusup lari melalui lubang rahsia yang bina khas di sebalik dinding batu.

Bagaimanapun tindakan itu gagal apabila semua mereka berjaya diberkas anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman.

Seramai 18 wanita warga Vietnam dan dua masing-masing China serta Indonesia berusia 19 hingga 30 tahun ditahan untuk siasatan.

Difahamkan seramai dua pegawai dan 12 anggota diketuai Asisten Superintendan Ibrahim Husin menyerbu premis terbabit selepas disyaki aktif menjalankan aktiviti pelacuran membabitkan wanita warga asing.

Sumber berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiga daripada wanita diberkas itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah memasuki Malaysia.

“Siasatan mendapati wanita terbabit menawarkan harga dari RM150 ke RM200 untuk perkhidmatan seks dengan menjadikan hotel murah di kawasan berhampiran sebagai markas operasi,” katanya.

Menurutnya, seramai 50 pelanggan turut didapati sedang leka berhibur di dalam bilik karaoke lima tingkat yang mempunyai 50 bilik itu.

“Pemeriksaan ke atas semua pelanggan menerusi sistem rekod polis mendapati semua mereka tiada rekod kesalahan. Mereka dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 25 tahun yang bekerja sebagai pengurus dan penjaga premis,” katanya.

Dia berkata, premis itu sudah beroperasi selama lima tahun dan mempunyai lesen perniagaan.

“Semua individu ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 6(1)C Akta Imgresen 1963,” katanya.
Share:

0 comments: