Syukur kepada allah ( Majlis Konvokesyen Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia Permata kali ke4)
Ada satu anugerah yang jarang disyukuri manusia. Biasa yang kita dengar. Si pelajar bersyukur dengan markah peperiksaan yang cemerlang. Si suami soleh bersyukur mendapat isteri solehah. Si ibu bersyukur di kurnia anak-anak yang bijak pandai. Si peserta Akademi Fantasia juga bersyukur apabila bergelar juara. Pendek kata, di dunia ini manusia akan bersyukur apabila mendapat perkara yang diingini. Namun satu perkara yang mungkin lupa disyukuri oleh kebanyakan manusia adalah nikmat lahir sebagai seorang Islam. Apabila lahir saja, kita diazankan, nama pula diberi berbin dan berbintikan bapa, tandanya kita seorang yang beragama Islam.
Namun adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup sebagai Islam? Adakah semua manusia mengamalkan gaya hidup seiring dengan penyaksian shahadah yang menjadi kunci keislaman mereka? Berapa ramai orang Islam yang masih menari terlompat-lompat di pusat hiburan. Berapa ramai wanita Islam yang mengandung anak luar nikah. Berapa ramai pasangan Islam yang membuang anak hasil hubungan terlarang. Berapa ramai orang Islam yang masih meneguk arak ketika mengalami tekanan. Lihat, dengar dan renunglah dengan hati, adakah itu tanda kesyukuran kita dengan anugerah dilahirkan sebagai seorang Islam.
Lihatlah manusia yang tiada agama. Mereka berjaya dalam kehidupan. Rumah besar, pangkat besar, pendek kata semua yang diimpi menjadi nyata. Namun alangkah sedih melihat mereka bertindak apabila tertekan. Ada yang terjun bangunan. Ada yang terjun landasan kereta api. Kalau difikir, mana mungkin orang berpelajaran tinggi sanggup mengambil jalan semudah itu sebagai penyelesaian kepada tekanan diri. Yang jelas disitu, mereka tiada tempat mengadu. Mereka tidak tahu dimana mahu mengadu.
Cukup berbeza dengan orang Islam. keindahan Islam itu jelas dan nyata. Kita punya Allah, Tuhan yang Maha Esa sebagai tempat mengadu. Tidakkah kita renung kembali. Walaupun setiap hari melakukan dosa, setiap hari membuat Allah murka, tapi jika kita menadah tangan berdoa dengan yakin, Allah pasti kabulkan permintaan kita. Kita sedih, Allah memujuk. kita gembira Allah mengingatkan.
Saat kita rasa kita tak mampu, Allah pujuk hati kita;
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.”(2:286)
Allah Maha Penyayang. Allah Maha Pengampun. Allah Maha Mendengar doa hambaNya. Semua yang indah hanya ada pada Allah s.w.t. Tidakkah terdetik perasaan malu walau sedikit kepada Allah apabila terlalu banyak nikmatnya tidak kita syukuri. Macam muka tak malu saja guna pemberian Allah tanpa bersyukur. Syukur itu bukan sekadar ucapan dibibir, syukur itu hadir bersama-sama kerendahan hati selaras dengan perbuatan mensyukuri.
Bersyukurlah kita orang Islam. Bersyukurlah kita ada Dia tempat mengadu.
“ ……Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah”
0 comments:
Post a Comment