Monday, January 12, 2015

Ramalan angin kencang, laut bergelora hingga Sabtu

Ramalan angin kencang, laut bergelora hingga Sabtu

Kuala Lumpur: Angin kencang dan keadaan laut bergelora di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah dan Labuan ketika ini dijangka berterusan hingga Sabtu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya semalam berkata, keadaan angin timur laut, yang bertiup selaju 50-60 km/jam dengan ombak hingga setinggi 4.5 meter itu, berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk perkhidmatan feri dan penangkapan ikan.

Jabatan itu juga berkata, paras laut di kawasan pesisir Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur berkemungkinan meningkat hingga 17 Januari.

“Sementara itu, ribut petir di perairan Pahang, Johor Timur dan Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri) dijangka berterusan hingga tengah hari ini,” katanya.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran bahawa angin kencang dan keadaan laut yang bergelora di perairan Condore, Reef North, Layang-Layang dan Palawan serta di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Kuching, Labuan dan Sulu akan berterusan hingga 17 Januari.

Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai, termasuk pekerja di pelantar minyak, kegiatan penangkapan ikan dan perkhidmatan feri, kata kenyataan itu.– BERNAMA
Sumber
Share:

0 comments: